Salam wat sahabat2 syabab.. hari ni syabab ingin berkongsi ttg blog yg syabab dpt dr seorg akhi...
sama2 r kita luangkn mase tuk muhasabah diri...
“Kalau kertas jawapan pelajar terbaik di hadapan kamu sudah terhulur begitu, mengapa tidak meniru?” saya bertanya.
Peserta tersenyum-senyum.“Tirulah! Bukan salah kita. Salah kertas itu. Dia yang terjulur keluar!” saya menyambung provokasi.
Hadirin ketawa. Mereka bukan murid sekolah. Mereka adalah ibu-ibu dan bapa-bapa murid di sebuah badan korporat.
“Jika semasa berpuasa, anda tidak tergamak untuk menelan air shower yang termasuk ke mulut semasa mandi, mudah-mudahan anda juga tidak akan berani meniru di dalam dewan peperiksaan, juga tidak akan menipu di dalam perniagaan” saya menokok cerita.
Saya adalah manusia yang tidak percaya dengan etika perniagaan yang dipisahkan daripada etika peribadi. Pejabat lain, rumah lain. Walhal kita adalah manusia yang sama, berurusan dengan manusia, membabitkan akal, hati dan nafsu manusia, serta masih berpijak di bumi Tuhan yang sama. Justeru prinsip-prinsip yang dipegang dalam kehidupan peribadi mestilah prinsip yang sama juga dipraktikkan di tempat kerja.
“Seandainya kita meniru di dalam peperiksaan, sama seperti menelan air shower semasa berpuasa, iaitu empat perkara akan berlaku” saya menyambung kisah.
BEGIN WITH THE END IN MIND
Ayuh anak-anak.
Lihatlah implikasi meniru di dalam peperiksaan. Apa implikasinya?
Pertama sekali, anda menipu Allah. Akibatnya adalah DOSA. Anda tahu apa akibat dosa, bukan?
Kedua, anda menipu Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam. Hadith sudah menjelaskan: من غشّ فليس منّا, bahawa “sesiapa yang tidak berlaku jujur, maka dia bukan dari kalangan kami”.
Seterusnya, anda menipu isteri apabila keluar dari bilik air, tanpa segan silu anda bertanya, “Yang, petang ini berbuka puasa makan apa?” Walhal anda sudah pun berbuka puasa dengan air pancut di bilik air tadi.
Atau pun anda menipu guru, kawan-kawan, ibu bapa dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Anda memang penipu besar.
Namun, implikasi duniawi paling malang adalah pada akibat keempatnya, iaitu, ANDA HILANG HARGA DIRI.
Bagaimana?
HILANG HARGA DIRI
Ana berjaya meniru. Anda ketagih meniru. Anda meniru berulang-ulang kali. Anda berjaya. Anda menyambung pelajaran ke Universiti Oxford di England. Anda menamatkan pengajian dan beroleh pekerjaan yang hebat. Anda berkahwin. Anda mendapat cahaya mata. Anak anda membesar. Kini di sekolah anak anda berusia 7 tahun, belajar di Tahun 1.
Di dalam peperiksaan, anak anda mendapat markah 9/100. Dengan DNA Oxford yang diwarisinya, anak anda menambah nombor 1 selepas angka sembilan untuk menipu anda, bahawa beliau mendapat markah 91/100!
Apa rasanya anda sebagai graduan Oxford ditipu oleh seorang budak berusia 7 tahun?
Kalau mahu ditipu pun, biarlah ditipu graduan Harvard atau Cambridge. Janganlah ditipu budak berusia 7 tahun.
Sangat mengaibkan. Sangat memalukan!
“Kamu kalau tak faham, beritahu ayah, ok. Ayah boleh hantar kamu tusyen. Ayah boleh ajar kamu” kata si ayah mengajar anaknya subjek INTEGRITI.
Anak mengangguk.
“Tetapi, jangan meniru!!!!” kata si ayah, mahu menjaga maruah dirinya sebagai graduan Oxford.
Err… sepantas kilat, memorinya kembali ke kenangan silam di bangku sekolah.
Bukankah beliau juara meniru di sekolah dahulu?
Tiba-tiba mahu memberitahu anak, jangan meniru?
Malu sendiri.
DUA WAJAH
Orang yang tidak jujur, tidak punya integriti. Tanpa integriti, tiada harga diri. Mereka yang berkrisis dengan harga diri, terpaksa hidup dengan dua wajah.
Satu wajah mengadap manusia.
Satu wajah mengadap diri sendiri. Wajah sebenar. Wajah yang banyak menghancurkan diri kita dari dalam.
Anda tidak kisah berwajah dua? Kami tidak dapat membantu anda. Menerima diri berwajah dua adalah serendah-rendah keadaan diri. Tidak mungkin dapat dibantu:
“Sesungguhnya orang-orang MUNAFIQ itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka” [al-Nisaa' 4: 145]
Hidup, biar miskin harta, jangan miskin harga diri.Pandangan dua puluh sen saya, nasihat buat diri dan anda semua.
My two cents opinion!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG